Ferrari mahu bangkit - 25/4/09
MANAMA - Musim kejayaan Ferrari harus bermula di Bahrain minggu ini, tegas pelumba Brazil, Felipe Massa kelmarin setelah pasukan juara Formula Satu itu gagal memperoleh sebarang mata dalam tiga perlumbaan awal.
Massa berjaya mencipta kemenangan di Litar Sakhir sejak dua tahun lalu.
Namun pelumba tersebut menggambarkan bahawa kejayaan dahulu adalah terlalu jauh untuk diulangi olehnya pada perlumbaan esok.
"Kamu sama sekali tidak boleh menyatakan tidak. Namun begitu, apa yang pastinya ialah perlumbaan ini tidak akan berlangsung dengan mudah.
"Saya percaya kami boleh mempamerkan perlumbaan menarik. Sama ada kami boleh mencatat kemenangan atau tidak, ia adalah satu perkara yang berbeza.
"Biarpun begitu, saya yakin kami boleh memberi aksi yang lebih kompetitif dan memperoleh mata sempurna.
"Kami perlu memulakan musim kejuaraan kerana sehingga kini, pasukan ini masih belum memulakannya," kata Massa kepada pemberita.
Ferrari merupakan sebuah pasukan Formula Satu yang paling berjaya di arena sukan lasak tersebut dan sangat terkenal.
Tetapi pasukan tersebut berhadapan dengan permulaan buruk musim ini, selepas mengalami keciciran mata dalam tiga perlumbaan di Australia, Malaysia dan China.
Pasukan ternama itu tidak pernah gagal dalam memperoleh mata pada empat perlumbaan pertama setiap musim.
Massa juga pernah tiba di Bahrain tahun lalu tanpa sebarang mata, biarpun menduduki tempat ketiga keseluruhan 2008.
Malah dia berjaya membantu rakan sepasukannya, Kimi Raikkonen untuk membolehkan Ferrari muncul pemenang pertama dan kedua di sini.
"Situasinya adalah sama. Tidak ada siapa yang bercakap mengenai masa depan saya dan itulah satu-satunya kelainan.
"Namun begitu, tekanan sentiasa ada di sana. Kami harus keluar daripada situasi sukar masa ini," kata Massa. - REUTERS